Senin, 23 Desember 2013

3 Kem Tentera Jadi Projek Printis Program MCTC


KOTA BHARU – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkenal Pusat Transformasi Masyarakat Tentera (MCTC) di tiga kem membabitkan peruntukan kira-kira RM4 juta sebagai usaha mempertingkat taraf hidup keluarga anggotanya.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata tiga kem perintis projek MCTC itu ialah Kem Tentera Laut di Lumut, Perak; Kem Pengkalan Udara Labuan, Sabah dan Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini.

“MCTC akan berkonsep seperti Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mini yang turut dilengkapi pasar basah, pejabat koperasi tentera, dewan untuk anak-anak anggota serta kaunter jualan tiket bas.

“Kita akan menggunakan bangunan atau rumah yang tidak lagi digunakan di dalam kem untuk diubah suai menjadi MCTC. Ia dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini selepas baik pulih bangunan itu siap sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Desa Pahlawan hari ini.

Ketika lawatan, Zulkefli mendengar penerangan Jabatan Penjara Malaysia berkaitan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan itu, yang menempatkan kira-kira 250 Orang Diselia (ODS) yang sedang menjalani hukuman.

Turut hadir Panglima 8 Briged Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah, Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) Leftenan Jeneral R Stevenson serta Asisten Ketua Staf, Operasi dan Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Abdul Samad Yaakob.

Zulkifeli berkata selain pusat sehenti itu, ATM akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membangunkan projek di tanah terpakai dalam kem berkenaan.

“Sebagai contoh, di Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, kita jalankan tanaman fertigasi labu yang membabitkan isteri anggota tentera di kem itu. Mereka juga mengikuti pelbagai kursus dan bengkel anjuran pelbagai agensi kerajaan seperti pembuatan kuih-muih, jahitan, andaman dan solekan,” katanya.

Mengulas Pusat Pemulihan Pemasyarakatan, Zulkifeli berkata ATM akan membuka pusat serupa di sebuah kem tentera di Kota Belud, Sabah yang boleh menampung kira-kira 200 ODS pada pertengahan tahun depan.

Beliau berkata ATM mendapat manfaat hasil Strategi Lautan Biru dengan ODS  menjalankan aktiviti penyelenggaraan kem seperti memotong rumput, mencuci longkang dan sebagainya.

“Mereka juga diberi kursus sebagai tukang gunting, urutan refleksologi serta pertanian, dan ATM dengan kerjasama beberapa agensi terlibat, akan melihat jika ada kursus bersesuaian yang boleh ditambah dalam pusat ini,” katanya. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar